Wednesday, August 11, 2010

Kejohanan Aerobik Antara Sekolah Perak Tengah

Bulan Julai merupakan bulan kecergasan dianjurkan bagi melahirkan warga pendidik dan pelajar bagi mewujudkan satu budaya ke arah hidup yang lebih sihat. Pelbagai aktiviti dan program telah dirangka oleh pihak sekolah dan jabatan bagi mencapai objektif bulan kecergasan. Aktiviti yang dijalankan diharap dapat melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas dari segi emosi, rohani, jasmani dan intelektual. Melalui program sebegini, penerapan nilai perihal betapa pentingnya bertubuh badan yang sihat dan cergas bagi mewujudkan insan yang sihat dan cergas. Jika tubuh badan kita sihat sudah tentu otak kita pun cerdas. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan kecergasan ialah Pertandingan Aerobik Peringkat Perak Tengah Kategori Sekolah Rendah. Warga SK Tanjung Belanja juga tidak ketinggalan mengambil bahagian bagi menyertai acara yang dipertandingkan. Pertandingan tersebut dipertandingkan di SK Taman Teknologi, Seri Iskandar, Perak.


Latihan telah dijalankan sejak sebulan lagi sebelum acara bermula. Guru-guru yang dipertanggungjawabkan telah memerah otak dalam mengilhamkan gaya dan gerak agar sesuai dan boleh diadunkan bersama-sama dengan lagu. Konsep satu malaysia yang telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri telah digarap dan diasimilasikan di dalam rentak aerobik. Pengorbanan guru dan murid yang terpaksa bekorban masa dan tenaga bagi menyebatikan aerobik dalam diri agar dapat menjuarai pertandingan tersebut.
Hadiah disampaikan oleh Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Perak Tengah
Seramai 11 murid diiringi 7 orang guru menghadiri pertandingan tersebut. Sebanyak 9 buah sekolah telah mempertandingkan bakat aerobik anak didik mereka masing-masing. Berkat kegigihan dan ketekunan sewaktu latihan akan membuktikan siapa menang siapa kalah pada hari tersebut. Siapa sangka siapa menduga, penyertaan dari sekolah yang masih mentah dalam bidang aerobik telah dinobatkan sebagai naib johan pertandingan tersebut. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Hadiah disampaikan oleh Pegawai PPD Perak Tengah.
Kegembiraan jelas terpancar diraut peserta setelah berjaya mendapat tempat kedua.

Panorama