Friday, August 20, 2010

Ceramah Kesihatan H1N1

Pada suatu pagi tanggal 17 Ogos, SK Tanjung Belanja telah menerima kunjungan hormat daripada Pejabat Kesihatan Parit untuk mengadakan ceramah bertujuan memberi kesedaran kesihatan yang difokuskan kepada seluruh warga SKTB tentang serangan Pandemic Influenza A (H1N1). Ceramah bermula pukul 8.00 pagi disampaikan oleh Pegawai Perubatan, Dr Zeiti. 

Ceramah itu menekankan apa itu H1N1, cara perebakan pandemic, tanda dan gejala, cara berkesan menangani jangkitan tersebut dan langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya dijangkiti. Murid juga diajar cara membersihkan tangan dengan betul bagi mengelakkan jangkitan kuman.

Secara tuntasnya, kesedaran berkaitan dengan kesihatan perlu ditingkatkan lebih-lebih di sekolah ini supaya dapat mengoptimunkan keselamatan kesihatan bagi mengelakkan penyakit berjangkit supaya proses pengajaran dan pembelajaran tidak terganggu kerananya. Bak kata pepatah, mencegah lebih baik daripada mengubati.

Sunday, August 15, 2010

Minggu Matematik SK Tanjung Belanja 2010


Matematik ialah suatu ilmu yang berkaitan dengan nombor. Nombor yang memberi nilai. Matematik menjadi asas kepada  banyak bidang ilmu di dunia ini. Matematik juga boleh menerangkan fenomena semulajadi alam ini. Sebagai contoh, kejadian malam dan siang. Dalam memahami kejadian ini, para saintis menggunakan ilmu astronomi yang mana ilmu ini memerlukan matematik sebagai asas yang utama.  Begitu juga kejadian pasang surut air, gerhana matahari, ribut taufan , banjir, semuanya menggunakan matematik untuk menerangkannya.
    Cuba bayangkan hidup kita tanpa matematik. Kita tidak tahu apa itu matematik.Tidak tahu nombor, sukatan, dan berbagai-bagai lagi istilah matematik yang lain. Kita juga tidak tahu apa itu tolak, tambah, bahagi dan darab. Hidup kita seumpama manusia zaman purba yang tidak tahu menilai sesuatu benda.
     Alangkah huru-haranya kita kalau tidak tahu matematik. Banyak perkara di dunia ini kita tidak dapat lakukan. Aktiviti rutin kita juga akan terganggu. Perkembangan ilmu seperti ilmu jurutera, senibina, perubatan, ekonomi dan sebagainya juga akan menghadapi jalan buntu.
     Menyedari betapa pentingnya ilmu matematik maka perlulah kita menanamkan minat yang sewajarnya kepada matematik. Selain untuk diaplikasikan dalam kehidupan matematik juga merupakan satu senanam untuk minda kita supaya kita tidak jumud dan beku untuk berfikir. Syukur kerana Allah telah mengkurniakan kita akal fikiran yang amat sesuai sekali untuk kita gunakan bagi mempelajari ilmu matematik.
     Ilmu matematik adalah berkaitan dengan minda manusia. Kebanyakan tokoh-tokoh yang banyak menyumbangkan kemodenan dan penemuan baru dan berguna kepada dunia adalah mereka yang mempunyai kepakaran yang tersendiri dalam matematik seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, dan Isaac Newton. Oleh sebab itulah, matematik seringkali dikaitkan dengan konsepsi pemikiran manusia iaitu matematik mempunyai hubungan yang rapat dengan minda manusia.
    Orang yang mudah menguasai matematik biasanya seorang yang kreatif. Mereka berupaya menyelesaikan matematik yang susah dan mengelirukan berdasarkan pengetahuan dan kreativiti mereka. Boleh dikatakan matematik ialah satu seni yang diterbitkan daripada kreativiti, imaginasi seseorang hinggalah ia berkembang menjadi satu ilmu yang sangat berguna kepada manusia hingga ke zaman moden ini.
     Betapa pentingnya matematik itu boleh kita lihat dalam kehidupan seharian kita. Kita guna matematik untuk membuat keputusan dan banyak perkara. Contohnya dalam membuat belanjawan. Kita akan memerlukan kemahiran dalam kira-kira asas matematik iaitu operasi tambah, tolak, darab dan bahagi. Kita perlu mengira berapa banyak wang yang kita akan keluarkan dengan menggunakan operasi tolak dan mengunakan operasi tambah bagi memasukkan pendapatan baru dalam belanjawan kita.
    Dalam kehidupan seharian, kita tidak akan terlepas daripada membuat sukatan. Sukatan merupakan salah satu daripada cabang matematik. Terma-terma seperti meter, liter, persegi, kaki dan padu perlu dikuasai dengan berkesan. Barulah kita dapat melakukan sukatan dengan betul. Kita juga menggunakan sukatan untuk menyukat makanan, melaksanakan jual-beli dan menentukan isipadu barangan di kilang-kilang. 
    Keupayaan murid-murid dalam menguasai kemahiran asas iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi mempengaruhi perkembangan murid dalam menjana kemajuan menguasai kemahiran lain dalam matematik. Menyedari perihal pentingnya menanam minat murid supaya sukakan matematik maka barisan guru dari panitia Matematik mengambil inisiatif menganjurkan Minggu Matematik Peringkat Sk Tanjung Belanja bagi menarik minat dan membudayakan matematik dalam kehidupan seharian. 

Jawatankuasa Pelaksana Program Minggu Matematik 2010

Pengerusi : Cik Hajjah Khairulaini Binti Khairuddin
N. Pengerusi : En. Abdul Wahab Bin Hamzah
Setiausaha    : Pn. Siti Fatimah Binti Othman
Pen. Setiausaha : Tn. Hj. Rozali Bin Din
Bendahari : En. Mohd Yaki Bin Zawawi
AJK : Semua Guru SK Tanjung Belanja

Aktiviti sepanjang minggu matematik

02.08.2010 : Majlis perasmian Minggu Matematik oleh Guru Besar.
03.08.2010 : Pertandingan menghafal sifir bagi murid tahap satu dan dua.
04.08.2010 : Kuiz Matematik dan Kembara Matematik
05.08.2010 : Pertandingan Bijak Sifir Tahap 2
06.08.2010 : Pertandingan Bijak Sifir Tahap 1

     Diharap dengan pelbagai program yang dirangka dapat menarik minat dan menyedari betapa pentingnya matematik dalam kehidupan seharian. Pihak guru juga berharap murid tidak hanya menghafal rumus, petua dan hukum tanpa mengetahui konsep sebenar. Keadaan ini hanya mewujudkan murid yang pandai mengira tetapi jahil matematik dan tidak mampu menyelesaikan masalah dalam kehidupan yang melibatkan matematik.

     Maruah dan masa depan pendidikan matematik di Malaysia bergantung sepenuhnya kepada para pendidik matematik itu sendiri. Kecemerlangan pendidikan matematik tidak mungkin berlaku, kecuali guru-guru mempunyai keyakinan penuh terhadap matematik serta perubahan pengajaran dan pembelajarannya. Taraf dan kelulusan akademik yang tinggi tidak mencukupi untuk membentuk suasana pengajaran dan pembelajaran yang baik dan bermakna. Pengajaran matematik yang efektif akan memberi tumpuan kepada tahap pemahaman murid terhadap sesuatu konsep di samping kemahiran mengira dan penyelesaian masalah. Untuk itu para guru harus terlebih dahulu menguasai setiap tajuk dari segi konsep dan isi kandungan sebelum memulakan sesi pengajaran dalam bilik darjah. Kajian-kajian tentang amalan pengajaran para guru amat perlu dilakukan dari masa ke masa supaya masalah dan kekurangan akan dapat dikenalpasti, dan seterusnya jalan penyelesaian dapat dilakukan dengan segera.

Wednesday, August 11, 2010

Kejohanan Aerobik Antara Sekolah Perak Tengah

Bulan Julai merupakan bulan kecergasan dianjurkan bagi melahirkan warga pendidik dan pelajar bagi mewujudkan satu budaya ke arah hidup yang lebih sihat. Pelbagai aktiviti dan program telah dirangka oleh pihak sekolah dan jabatan bagi mencapai objektif bulan kecergasan. Aktiviti yang dijalankan diharap dapat melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas dari segi emosi, rohani, jasmani dan intelektual. Melalui program sebegini, penerapan nilai perihal betapa pentingnya bertubuh badan yang sihat dan cergas bagi mewujudkan insan yang sihat dan cergas. Jika tubuh badan kita sihat sudah tentu otak kita pun cerdas. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang bulan kecergasan ialah Pertandingan Aerobik Peringkat Perak Tengah Kategori Sekolah Rendah. Warga SK Tanjung Belanja juga tidak ketinggalan mengambil bahagian bagi menyertai acara yang dipertandingkan. Pertandingan tersebut dipertandingkan di SK Taman Teknologi, Seri Iskandar, Perak.


Latihan telah dijalankan sejak sebulan lagi sebelum acara bermula. Guru-guru yang dipertanggungjawabkan telah memerah otak dalam mengilhamkan gaya dan gerak agar sesuai dan boleh diadunkan bersama-sama dengan lagu. Konsep satu malaysia yang telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri telah digarap dan diasimilasikan di dalam rentak aerobik. Pengorbanan guru dan murid yang terpaksa bekorban masa dan tenaga bagi menyebatikan aerobik dalam diri agar dapat menjuarai pertandingan tersebut.
Hadiah disampaikan oleh Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Perak Tengah
Seramai 11 murid diiringi 7 orang guru menghadiri pertandingan tersebut. Sebanyak 9 buah sekolah telah mempertandingkan bakat aerobik anak didik mereka masing-masing. Berkat kegigihan dan ketekunan sewaktu latihan akan membuktikan siapa menang siapa kalah pada hari tersebut. Siapa sangka siapa menduga, penyertaan dari sekolah yang masih mentah dalam bidang aerobik telah dinobatkan sebagai naib johan pertandingan tersebut. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Hadiah disampaikan oleh Pegawai PPD Perak Tengah.
Kegembiraan jelas terpancar diraut peserta setelah berjaya mendapat tempat kedua.

Saturday, August 7, 2010

Minggu Sains 2010

Kemajuan sains dan teknologi telah banyak membawa perubahan positif kepada kita dan berkait rapat dengan kemajuan sesebuah negara. Kemajuan sains telah membawa kebahagiaan kepada manusia. Sesungguhnya banyak faedah yang telah kita nikmati hasil daripada kemajuan sains dan teknologi. Justeru itu, tidak hairanlah jika sesebuah negara menyumbang belanja yang besar untuk kemajuan sains dan teknologi bagi mewujudkan sebuah negara yang disegani. Fenomena ini membuktikan bahawa kemajuan sains lebih banyak mendatangkan Kesan positif daripada kesan negatif. Lantaran memahami kepentingan sains kepada manusia sejagat barisan guru dari Panitia Sains SK Tanjung Belanja mengambil inisiatif menganjurkan Minggu Sains bagi menarik minat dan menanam sikap sains dalam diri murid-murid dalam usaha memperkembangkan potensi ke arah berdaya saing sesuai dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Matlamat program ini adalah untuk membentuk modal insan yang berteraskan sains. Empat objektif telah digarisi bagi mencapai hasrat ini, iaitu:
  1. Menanam minat murid tentang mata pelajaran sains.
  2. Memupuk kesedaran tentang kepentingan disiplin dan aplikasi sains dalam kehidupan seharian.
  3. Melahirkan murid yang berfikiran kreatif dan kritis.
  4. Meningkatkan daya berfikir secara saintifik melalui aktivit inkuiri penemuan dan kemahiran proses sains.
Jawatankuasa Minggu Sains
Pengerusi                 : Cik Hajjah Khairulaini Binti Khairuddin
Pen. Pengerusi         : En. Abdul Wahab bin Hamzah
Penyelaras Program : Pn. Norasmah Binti Saad
Pen. Penyelaras       : En. Mohd Firdaus Bin Mohd Jamil
Setiausaha               : Pn. Jamaayah Binti Hariri
Bendahari                : Pn. Halimatussadiah Binti Taharim

Perasmian dimulakan dengan mewarna 'Invisible Board' yang tertera tulisan Minggu Sains oleh Cikgu Khairulaini, Guru Besar SK Tanjung Belanja. Seterusnya pembukaan diserikan lagi dengan nyanyian lagu berlirikkan sains oleh murid-murid dari tahap satu. Setelah  nyanyian selesai, persembahan oleh Cikgu Firdaus iaitu Trick In Scince atau Science Magic.
Setiap pagi, selepas perhimpunan sepanjang Minggu Sains pelbagai persembahan menarik disajikan oleh guru sains dengan membuat beberapa keajaiban sains yang mengejutkan dan langsung tidak pernah difikir oleh murid-murid malahan guru-guru SK Tanjung Belanja. Persembahan tersebut diharap dapat menarik minat murid supaya sukakan sains dan menyedari kepentiangan sains dalam kehidupan seharian. Persembahan diselang selikan dengan aktiviti Word Jumble, Word Puzzle serta kuiz terbuka. Setiap murid dikehendaki mengumpul jawapan daripada soalan kuiz sepanjang Minggu Sains berlangsung. Soalan adalah berdasarkan silibus sains mengikut tahap murid.
Antara aktiviti menarik yang dihidangkan untuk menjadi santapan pagi buat murid-murid adalah bagaimana bunga yang diperbuat daripada kertas mengembang di dalam air dengan sendirinya. Kulit telur menjadi lembut dan kenyal apabila direndam ke dalam cuka. Tindakbalas kima antara kulit telur yang mengandungi kalsium karbonat dan cuka yang mengandungi asid asetik menyebabkan kulit telur membebaskan unsur karbon membuatkannya menjadi lembut.
Cikgu Firdaus meminta murid meniup belon dan menyucuknya dengan menggunakan lidi sate tanpa memecahkan belon tersebut. Demontrasi membuat model letusan gunung berapi dan roket air juga membuat semua penonton teruja. Dengan hanya menggunakan bahan-bahan yang mudah diperolehi murid juga mampu membuatnya semula di rumah.
Jejak Sains merupakan acara kemuncak sepanjang Minggu Sains. Murid dibahagikan kepada empat kumpulan rumah sukan. Mereka dikehendaki menjejaki maklumat dan menyelesaikan masalah yang diberikan di dalam kawasan sekolah. Kumpulan yang dapat menyelesaikan terlebih dahulu akan melayakkan diri ke Pertandingan Who Wants To Be A Millionaire. Setelah Maklumat berjaya dikumpul dua orang murid telah terpilih iaitu adik Mohd Asril Bin Masidi dan adik Syahidah Liyana Binti Shaharudin mewakili rumah masing-masing. Mohd Asril telah mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut. Hadiah disampaikan oleh Guru Besar sewaktu perhimpunan pada minggu hadapan.

Panorama