Tuesday, May 18, 2010

Sambutan Hari Guru Peringkat SKTB 2010

Tanggal 16 Mei setiap tahun sejak 1972 merupakan hari yang paling bermakna buat pendidik kerana pada hari itulah insan yang bergelar guru diberi penghormatan dan pengiktirafan kerana pengorbanan mereka dalam mendidikan anak bangsa tanpa mengenal erti penat dan lelah.Tahun ini, sekali lagi tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ dipilih kerana ia menepati aspirasi kerajaan dalam membentuk sebuah negara yang baik dan berkesan. Sekolah perlu menjadi acuan dan landasan yang mampu melahirkan golongan pelapis generasi muda yang bergerak seiring aspirasi negara bagi melahirkan generasi berminda kelas pertama. Falsafah Pendidikan Guru menekankan kriteria seorang guru haruslah berperkerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara, menjamin pembangunan individu dan memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan berdisiplin. Warga pendidik harus menyedari bahawa selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru juga menggalas amanah yang berat kerana mereka turut berperanan menbentuk akhlak serta jati diri anak didik. Guru haruslah mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak dan kepakaran pedagogi. Guru juga harus dan mesti boleh mengimplementasikan kaedah pendidikan yang tepat di mana strategi pengajaran dan pembelajaran yang guru lakukan memperhatikan situasi, kondisi dan karakter seseorang, sehingga nilai-nilai murni dapat di tanam dan dijelmakan dengan baik dalam diri anak didik.




Menyedari perihal pentingnya peranan guru maka warga SKTB bersepakat menyambut perayaan hari guru bagi mengenang dan memberi kesedaran kepada murid betapa tinggi jasa guru kepada kita selama ini. Acara dimulakan  dengan perhimpunan pagi. Bacaan perutusan Menteri Pelajaran dan Ketua Pengarah Pelajaran dibacakan oleh Guru Besar dan Penolong Kanan. Seterusnya, ikrar guru telah diketuai oleh En. Yaki Bin Zawawi. 


Selepas perhimpunan tamat, guru-guru telah diberikan tugas masing-maisng untuk ke setiap kelas bagi melakukan aktiviti seperti yang telah dipersetujui. Setiap kelas dikawal oleh 4 orang guru. Antara acara menarik sepanjang sambutan hari guru ialah murid tahun 6 telah membuat pertandingan reka cipta dengan menggunakan bahan daripada kayu, elektronik dan logam. Sebanyak lapan kumpulan telah menyertai pertandingan tersebut. 





Murid tahun 5 pula membuat aktiviti permainan dalaman seperti bermain congkak, dam ular, karom dan catur. Murid tahun 1, 2 dan 3 telah menyertai pertandingan mewarna dan melukis. Murid tahun 4 pula mendeklamasi sajak dan puisi. Selain itu, terdapat pelbagai acara dan aktiviti dijalankan.
Murid yang berjaya mendeklamasi sajak membuat persembahan. Selepas tamat permainan dan aktiviti dalaman, guru besar menyampaikan hadiah kepada pemenang.








Murid-Murid bersalaman dengan semua guru memohon ampun dan maaf serta iringan doa sebuah kejayaan buat murid yang tersayang. Guru-guru berbaris panjang manakala murid dari semua kelas termasuk pendidikan khas bersalaman dengan semua guru. 




Di penghujung sambutan perayaan hari guru, semua staf dan kakitangan SK Tanjung Belanja menjamu selera di Bilik Sains. Jamuan makan semua staf adalah bagi merapatkan hubungan silaturrahim sesama sendiri tanpa mengenal pangkat dan darjat. Diharap hubungan yang sedia terjalin dapat mengeratkan serta menaikkan semangat saling bekerjasama antara satu sama bagi memastikan proses pembelajaran dan pengajaran serta pengurusan pentadbiran berjalan dengan lancar.

Pertandingan Softball Peringkat Negeri Perak

Tanggal 7-9 Mei 2010 hari tu, telah menjadi sejarah kepada warga Sek. Keb. Tanjung Belanja kerana buat julung kalinya telah menghantar wakil pasukan softball perempuan bawah 12 tahun ke peringkat negeri. Penyertaan tersebut merupakan penyertaan yang bersejarah apabila terus mewakili daerah bermain di peringkat Negeri Perak. Pasukan sekolah telah menghantar 12 orang pemain perempuan yang terdiri daripada murid tahun 6. Atas semangat dan iltizam yang tinggi berbekalkan semangat kesukanan, walaupun tidak menjuarai atau memenangi mana-mana perlawanan namun sekurang-kurangnya penyertaan kali ini dapat membuka mata bahawa sekolah luar bandar juga boleh bermain. Pertandingan tersebut berlangsung di padang SMK Anderson, Ipoh berhadapan dengan Hospital Besar Ipoh. Pasukan sekolah ini telah menginap di SMK Raja Perempuan, Ipoh di Jalan Sultan Azlan Shah. Jurulatih utama pasukan En. Yusof Bin Re selaku jurulatih daerah softball. Guru pengiring yang membawa pasukan sekolah adalah Cik Nornazahiah Binti Abdullah dan Cik Zurida Binti Ngah Abd Rashid.
Perlawanan penentuan untuk melayakkan pasukan ke separuh akhir, tetapi dukacitanya pasukan sekolah gagal untuk menang.
Dua orang guru pengiring yang setia menyaksikan setiap perlawanan dan memberi sokongan padu kepada pasukan sekolah untuk mendapat kejuaraan.

Monday, May 3, 2010

Kelas Tambahan Hari Sabtu & Gotong Royong Perdana

Adalah dimaklumkan bermula 8 Mei 2010 pihak sekolah akan mengadakan kelas tambahan untuk semua murid Tahun 4, 5 dan 6. Kelas ini akan diadakan setiap sabtu dari 8.30 pagi hingga 11.30 pagi.

Walaubagaimanapun kelas pada hari sabtu  15 Mei 2010 akan digantikan dengan Gotong Royong Perdana seperti yang dikehendaki oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Panorama