''Firdaus, kamu dah pilih tapak perkhemahan ke belum?" tanya Cikgu Hashim dari Sk Bota Kiri semasa mengadakan Bengkel UPSR di sekolah ini. Itulah soalan yang membuatkan hampir semua guru pengakap sibuk membuat persiapan menjelang perkhemahan ujian Lencana Keris Emas. Persiapan bermula dengan pemberian surat jemputan perkhemahan kepada murid yang memegang sijil Keris Perak untuk menyambung ke ujian lencana Keris Emas. Latihan tarian dikendalikan oleh Teacher Ganggadevi dan beberapa orang guru. Buku log pula di kendalikan oleh Cikgu Firdaus. Mujurlah ada guru yang baik hati ingin memurnikan buku log dan mengambil inisiatif untuk membalutnya, iaitu Cikgu Shaliza dari kelas Prasekolah. Setiap kali waktu rehat dan waktu senggang peserta banyak menghabiskan masa menyiapkan buku log dan latihan bagi menghadapi ujian itu nanti. Bahagian menu makanan pula dikendalikan oleh Teacher Syarinatullaili dan Cikgu Halimatussadiah. Papan tanda dan nama murid pula dikendalikan oleh guru-guru dari pendidikan khas iaitu Cikgu Shamilah,Cikgu Nora, Cikgu Nazahiah dan Cikgu Siti Hagrah. Seminggu sebelum perkhemahan bermula guru-guru lelaki dibantu oleh tukang kebun sekolah membersihkan tapak, mencari buluh dan menyiapkan beberapa gajet. Guru-guru lain pula terlibat dalam bahagian masakan yang diketuai oleh Cikgu Asmah. Perkhemahan pada kali ini berjalan dengan begitu lancar sekali. Semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh semua guru tidak kira dari pendidikan khas atau aliran perdana patut dicontohi dan diteladani.
Jumaat 2.30 petang, peserta dari sekolah ini dengan penuh semangat berkumpul di sekolah untuk memulakan perjalanan ke kawasan perkhemahan dengan diiringi oleh beberapa orang guru. Sesampainya di sana mereka telah diberi taklimat oleh pentaraf dan pemimpin pengakap. Ujian buku log bermula pada pukul 5.00 hingga pukul 6.00 petang. Pada sebelah malamnya pula murid hanya berlatih untuk persembahan kebudayaan dan menyiapkan beberapa gajet perkhemahan.
"Mbekk..mbekk.." bunyi kambing memecah suasana pagi, ditambah pula hiruk pikuk suara peserta seawal jam 5.00 pagi mereka telah pun sudah bersiap sedia menguruskan diri masing-masing. Pengalaman sewaktu ujian Keris Perak mengajar mereka menghargai masa yang ada. Sesudah sarapan pagi, murid diberi sedikit taklimat untuk pemeriksaan pagi oleh beberapa pentaraf daerah yang bertauliah. Sepanjang hari mereka telah diuji dari aspek teori, simpulan, roti lilit, kraftangan, ujian sikap, kecergasan dan kebudayaan. Ramai juga guru yang sudi meluangkan masa bersama-sama anak didik mereka melihat sendiri bagaimana anak didik belajar untuk berdikari dan mempunyai kemahiran yang tinggi. Pada sebelah malamnya pula, guru-guru telah bersepakat dengan seluruh warga sekolah mengadakan barbeque. Secara tidak langsung program sedemikian dapat mempereratkan lagi hubungan silaturrahim antara warga sekolah. Malam tersebut juga diserikan lagi dengan persembahan kebudayaan dari pelbagai sekolah yang mengambil ujian. Peserta dari sekolah ini mengadakan persembahan tarian Satu Malaysia.
Tepat jam dua belas tengah malam. Hanya kedengaran suara unggas malam yang memecah kesunyian. Peserta tidur dengan lenanya dek kerana keletihan dengan aktiviti yang penuh dan cukup mencabar. Keesokkan harinya, seperti biasa pemeriksaan pagi dan upacara perasmian penutup. hadiah disampaikan oleh YB Nizar Parlimen Parit yang sudi hadir bagi memeriahkan majlis tersebut.
Berkat kerjasama dan semangat dedikasi oleh warga sekolah dibantu oleh peserta perkhemahan akhirnya sekolah ini telah mendapat tempat kedua taraf perkhemahan bagi ujian Lencana Keris Emas. Semoga perkhemahan akan datang kita akan sentiasa mendapat yang terbaik.
Menu makanan harian yang disediakan oleh Cikgu Syarina, Cikgu Siti dan Cikgu Halimatun
Tukang masak dulu, kini dan selamanya. Tetap dan berpencen
Cikgu Zurida yang tetap setia. Walaupun gajet dah siap tali rapia tetap ku pegang jua.
Murid yang berdedikasi. Kelihatan peserta perkhemahan sedang sibuk menguruskan khemah.
Papan tanda senarai nama peserta khemah yang telah didedikasikan oleh guru pendidikan khas.
Gajet ampaian yang sentiasa dipenuhi dengan baju dan seluar basah.
Rak dapur yang sentiasa berbakti kepada peserta yang lapar malahan kepada guru yang penat bekerja.
Gajet rak kasut menampakkan lagi kekemasan peserta perkhemahan.
Gajet tiang bendera bagi istiadat menaikkan bendera dan laung agung.
Khemah dirobohkan menanda berakhirlah sudah perkhemahan ujian Lencana Keris Emas
Keringat yang diperah, membasahi seluruh tubuh. Akhirnya, membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai naib johan taraf perkhemahan pengakap.
Kenangan terindah akan sentiasa bersemadi di dalam memori. Tiada kata semanis bicara dapat diungkapkan oleh semua peserta apabila penat dah lelah telah terbayar dengan secebis hadiah dan sekeping sijil.